yea lah tu

Khamis, 6 September 2012


Ada kasih minta dibelas...
Ada ilmu minta diikhlas...

Alhamdulillah…

Selesai sudah Majlis Solat Hajat Dan Restu Ilmu di SK Jalan Enam tepat jam 10.00 malam sebentar tadi. Solat Hajat ini diadakan di foyer sekolah dan tiga buah khemah tambahan telah di sewa khas untuk jemaah yang selebihnya.

Tahniah diucapkan kepada Panita Agama Islam yang terdiri daripada ustaz dan ustazah yang hebat yang diterajui oleh Cik Zaharah.

Imam solat hajat yang dijemput merupakan Imam di sebuah Masjid di Petaling Jaya. Muda dan kacak orangnya. Maaflah nama tak disertakan di sini maklum tak berapa nak focus tadi. 

Menjadi jurukamera yang tidak bertauliah memang selalu lebih sudu dari kuah…

Jemaah yang hadir lebih kurang 400 orang…ibu ayah dan anak-anak yang hadir di dahului dengan ucapan tahniah kerana inilah usaha akhir kita demi kejayaan anak-anak. Tak kurang juga yang menitiskan air mata terharu.
ibu bapa di foyer 

KA yang bersuara lunak

anak-anak di khemah

Usaha + Doa = Tawakal + Rehda

(dulu-dulu zaman sekolah menengah suka tulis ayat atas ni…tampalkan kat locker dorm siap colour-colour lagi…masa tu rasa dah cukup hebat..)

Beginilah lumrahnya, selepas diasak, disuap, disesah segala usaha yang kami lakukan demi anak-anak bangsa akhirnya disimpulkan dengan memohon restu ilmunya.

Macam-macam karenah anak-anak yang ingin menjadi remaja ini kami hadapi…
Yang pahit…
Yang manis…
Yang menarik…
Yang menggembirakan…
Tak kurang juga …
Yang memualkan…

Akhirnya semuanya dimaafkan, diikhlaskan …demi masa depan anak-anak ini.

Ayah mohon maaf dari guru…

Ibu mohon maaf dari guru…

Anak-anak didik memohon maaf dari ibu…

Guru juga memohon maaf dari ayah dan ibu anak-anak didik mereka.

Saling bermaafan. Saling mengikhlaskan. Saling merehdakan.
Memang sayu suasana.

Mudah-mudahan Allah swt perkenankan hajat dan doa kita semua. Amin.

***Bagi saya kecemerlangan itu bukan diukur berapa banyaknya jumlah calon UPSR 5A anak didik saya……tetapi kecemerlangan yang total ialah dengan lengkapnya akal budi mereka yang hebat suatu hari nanti. InsyAllah.